Perjalanan istimewa Israk Mikraj,
Rasulullah saksikan 10 balasan bakal diterima wanita di akhirat nanti.
27 Rejab mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi
Muhammad SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj perjalanan Baginda dari
Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin
serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh.
Firman Allah bermaksud: "Maha suci Allah yang telah memperjalankan
hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah
Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan
kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari
tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi
Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)
Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah
bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan
yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok
Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.
Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari
atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda
kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan
sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan
menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam
yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat
menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh
manusia biasa.
Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang
kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka
oleh manusia.
Dalam peristiwa itu Rasulullah SAW diperlihatkan kekuasaan Allah serta
balasan yang bakal diterima umatnya di akhirat nanti. Firman Allah
bermaksud: ?Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad SAW) telah melihat
(Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di
Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat
Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
"Penglihatan (Muhammad SAW) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan
tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan
tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat
sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya
pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." - (Surah an-Najm, ayat 13-18).
Antara pengajaran dalam peristiwa itu ialah mengenai wanita. Dalam
perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan
berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu Baginda bertanya
kepada Jibril kawasan apakah yang sedang mereka lalui.
Jibril menjawab: "Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga."
Beliau ialah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang
mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat
dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun.
Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar
dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan
ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka.
Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba
sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah.
Apabila puteri itu mendengar perkataan Allah, dia bertanya kepada
Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi
selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah
adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam.
Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun
terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya.
Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi
dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah
Allah."
Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat
patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah.
Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan
Firaun untuk membunuh Masyitah. Firaun memerintahkan patung lembu itu
diletakkan di atas api sehingga minyak di dalamnya panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.
Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam patung lembu tembaga itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun
kerana terlalu sayangkan anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku
kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: "Wahai ibuku!
Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan)
kebenaran."
Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan
Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid
dibunuh Firaun.
Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini
dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa
Israk Mikraj.
Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah
kerana mempertahankan akidah sehingga mati.
Dalam perjalanan itu, Baginda turut diperlihatkan 10 jenis seksaan yang
menimpa wanita yang membuatkan Rasulullah SAW menangis setiap kali
mengenangkannya.
Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan perempuan yang
digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah
perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki
lain.
Seksaan lain yang diperlihatkan Baginda ialah perempuan yang digantung
dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak
panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka
menyakiti hati suami dengan kata-katanya.
Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah
punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah
perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun
dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang
boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk
dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin
suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis
haid dan nifas.
Selain itu, Baginda melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri
manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang
berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan
gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri
sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.
Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti
kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang
suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.
Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan
beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar
melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya
dan memfitnah orang lain.
Astaghfirullahal ‘azim…
Na’uzubillah…
Nukilan;
No comments:
Post a Comment