Istimewanya Islam, kerana agama ini tidak pernah mengabaikan warga tua, sebaliknya memberikan mereka kedudukan tinggi, lagi istimewa. Malah Islam juga memberikan garis panduan tersendiri dalam memuliakan golongan yang lebih tua, seperti firman-Nya lewat ayat 23 dan 24, surah al-Israa’ yang bermaksud:“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai pada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah!” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.”Tidak kira siapapun si anak, sama ada dia warga korporat ternama, wanita yang sudah punya suami atau anak gadis yang masih kecil, semuanya terikat pada lima prinsip dalam melaksanakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka:
1 Jangan bercakap kasar dengan ibu bapa dengan perkataan seperti “Ha” atau “Ah” atau dengan kata lain, jangan menggambarkan rasa tidak senang si anak kepada ibu bapa atau mengeluh berdepan dengan kerenah mereka.
2 Jangan menengking mereka. Mengeluh pun tidak boleh, apatah lagi perbuatan menengking atau menyergah mereka.
3 Anak hendaklah menggunakan kata-kata sopan, hormat, dan penuh kasih-sayang serta menggunakan nada lembut dan suara perlahan terhadap ibu bapa.
4 Anak hendaklah merendahkan diri di hadapan orang tuanya. Setinggi mana pun ilmu atau pangkat si anak itu, ia perlu merendahkan dirinya di hadapan kedua-dua orang tuanya.
5 Anak perlulah berdoa untuk orang tuanya supaya ibu bapanya dikasihi Allah, dikurniakan nikmat dan rahmat selama umur mereka masih ada. Berdoa dianggap sebagai usaha kita untuk membalas budi ibu bapa yang memelihara kita sejak lahir.
Nukilan;
No comments:
Post a Comment